Bas dua tingkat Kota London
Jam 7.30 pagi berjalan kaki ke Indurrah Apart sejauh 2 km untuk bersama-sama peserta rombongan. Pagi ini sarapan nasi lemak bungkus yang disediakan oleh Bonda Cafe, MARA House, London. Alhamdulillah.Jam 9.00 pagi memulakan jelajah Kota London dengan menaiki bas dua tingkat ke destinasi pertama iaitu Portobello Market, pasar yang beroperasi setiap hari sabtu (ala-ala pasar minggu Kuala Besut) di sepanjang Portobello Street.
Papan tanda Portobello Market
Suasana Pasar hari Sabtu Portobello
Salah satu premis niaga di Portobello Street yang menghiaskan ratusan mesin jahit jenama 'Singer' model-model lama.
Macam-macam jualan seperti hasil pertanian, makanan, pakaian, cenderamata, barangan artik dan juga pertunjukan muzik jalanan. Selama 2 jam dihabiskan di Portobello Market dengan menyaksikan ramai pelancong asing khasnya dari Eropah berkunjung di sini. Kesempatan diambil untuk minum di sebuah kafe milik orang Melayu (Makan cafe) yang berasal dari Gong Badak, Kuala Nerus.Perjalan diteruskan dengan menaiki bas ke stesyen train bawah tanah (upgrown) lebih dikenali dengan Tube mengunakan tiket harian dengan harga £6.60 (lebih kurang RM33) ke Hype Park sebuah taman bunga dengan pemandangan tasik buatan yang didiami banyak unggas yang berenang-renang serta pokok-pokok yang mula berpucuk dan ada yang mula mengeluarkan bunga menjadikan Hype Park sebuah taman yang menarik dan romantik.
Terdapat satu sudut ‘Speaker Corner’ yang menyaksikan pemidato-pemidato bebas untuk bersyarah mengenai isu-isu semasa atau apa jua dengan dikawal oleh pihak polis.
Maka tidak hairanlah Hype Park menjadi tumpuan oleh penduduk Kota London dan pelancong asing terutamanya pada hari minggu.
Dari Hype Park rombongan berjalan kaki melalui Royal Albert Hall – dewan persembahan yang amat terkenal di London yang menampilkan artis-artis tersohor dunia. Allayarham Sudirman dan Dato’ Siti Nurhaliza antara yang pernah membuat persembahan di dewan ini.
Jalan kaki diteruskan melalui Imperial College London – salah sebuah university yang terkenal di London untuk ke Trafalgar Square, salah satu medan yang tercatat dalam sejarah Britain. Kebetulan semasa singgah di Trafalgar Square satu acara tradisi tahuan sedang berlangsung iaitu perlawanan memukul bantal yang menyaksikan ratusan pengunjung memukul bantal antara satu sama lain dan diberitahu permainan ini diadakan setiap tahun dan tidak dipastikan sejarahnya. Kena tanya orang London lah pasal ini.
Dari Trafalgar Square balik dengan Tube ke stesyen berhampiran ke penginapan. Berjalan kaki pada hari kedua di London lebih kurang 10km. Makan malam di apartment disediakan oleh Bonda Cafe.
Saya dan 4 rakan yang menginap di Mara House pindah ke Indurrah Apart untuk bersama-sama ahli rombongan lain. Terima kasih dan Alhamdulillah selesa dan gembira bersama-sama rakan rombongan.
Kepenatan dan ada yang tidur dengan lenanya dan ada yang terkebil-kebil dengan fenomena ‘jet lag’.
- hwa 17/04/11









